Assalamualaikum wbt Tuan Puan
Bulan ini adalah bulan di mana umat Islam di seluruh dunia berhimpun di Tanah Suci untuk menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan ibadah Haji bagi mereka yang berkemampuan. Bulan ini juga mendidik umat Islam untuk berkorban bukan sahaja dari segi wang ringgit. Malah lebih dari itu seperti masa, tenaga, kebaikan dan banyak lagi.
Ibadah korban yang dijalankan setiap tahun adalah penting bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail bertujuan untuk menguji keimanan mereka berdua kepada Allah SWT. Sebagai ganjaran daripada pengorbanan mereka, Allah menggantikan dengan seekor haiwan ternakan untuk dikorbankan.
Pengorbanan yang dilakukan boleh dijadikan sebagai contoh ketaatan kepada Allah SWT. Allah tak akan menguji seseorang di luar kemampuan hambaNya.
Semoga Hari Raya Aidiladha yang disambut pada tahun ini dapat memberikan manfaat kebaikan yang lebih baik kepada umat Islam terutama dalam memelihara hubungan kekeluargaan.
Di hari yang mulia ini, marilah kita saling bermaafan sesama kita. Jadikan Aidiladha sebagai titik tolak untuk kita lebih menghargai erti sebuah pengorbanan.
Kami juga mendoakan semoga para jemaah Haji mendapat Haji yang mabrur dan semoga ibadah Qurban yang kita jalankan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Selamat Hari Raya Aidiladha.