Hari keputusan peperiksaan keluar, waktu paling aku tak suka dan rasa nak lari rumah.
Aku bukan anak yang keputusan bersusun A, tapi D dan E. Aku rasa aku dah cuba yang terbaik, tapi entahlah…
Lebih tertekan bila datang mak dan bapa saudara aku ke rumah, sibuk sangat tanya keputusan peperiksaan aku, banding-banding pula dengan sepupu yang lain. Dalam hati, kenapalah kau datang rumah aku.
Aku tahu keputusan peperiksaan aku tak seperti kakak, abang dan adik yang cemerlang dalam pelajaran.
Mereka sambung pelajaran ke menara gading.
Aku yang tak layak ke mana-mana pusat pengajian tinggi, akhirnya ambil langkah buka gerai burger depan rumah. Modal pinjam daripada nenek.
Mula-mula pelanggan aku adalah kawan-kawan yang singgah melepak. Lama kelamaan semakin ramai datang membeli. Aku jadi bersemangat!
Aku mula rasa suka gila dengan perniagaan, walau matematik aku dulu GAGAL.
Gagal dalam pelajaran, bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya.
Aku nak ubah hidup aku! Aku nak buktikan kepada bapa dan mak saudara aku, mak cik bawang sebelah rumah yang selalu umpat aku, aku anak yang berguna, boleh kaya dan berjaya.
Aku akan bayar semula modal berniaga pinjam daripada nenek, aku nak bayar double. Nenek sahaja yang memahami dan sudi menghulurkan pinjaman.
Aku nak langkah pertama aku tak silap seperti mana aku banyak kali melakukan kesilapan seperti dahulu.
Kita tak selamanya perlu salahkan diri kerana kegagalan lepas, perlu cari bagaimana untuk ubah hidup jadi lebih baik setiap masa dan waktu, moga kita jadi insan yang lebih memberi manfaat.